VISI

Sekolah Cemerlang Dalam Daerah Subis 2014

SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN BEKENU

Sekolah Kebangsaan Bekenu ditubuhkan pada 10 Januari 1959. Nama asalnya ialah “Central Upper Primary School”. Nama ini sesuai dengan keadaan sekolah masa itu yang mana ianya hanya membuka kelas untuk darjah lima dan enam sahaja.

Pengambilan pertama hanya satu kelas sahaja iaitu darjah lima dengan 30 orang murid. Murid-murid ini datang dari seluruh Daerah Subis. Kelayakan masuk ke sekolah ini mestilah lulus peperiksaan darjah empat di sekolah masing-masing di kampung.

Pada ketika itu, bangunan sekolah sebenarnya belum lagi didirikan dan untuk sementara waktu gudang kerajaan di tepi Sungai Sibuti digunakan sebagai tempat belajar. Hampir 90% daripada muridnya tinggal di asrama. Mereka dian di salah sebuah bangunan kerajaan di Bekenu. Bangunan sekolah yang baru dibina pada tahun 1963 hanya mempunyai lima bilik yang menempatkan empat kelas dan sebuah bilik guru.

Bagi tahun-tahun seterusnya, bilangan murid semakin bertambah dan kelas baru dibuka untuk menampung kepesatan ini. Pada awal tujuh puluhan, sekolah ini menjadi sekolah penuh kerajaan. Bersesuaian dengan tempat dan keadaan, nama sekolah ini ditukar kepada Sekolah Rendah Kerajaan Bekenu dan kemudiannya ditukar pula kepada Sekolah Kerajaan Bekenu sehingga sekarang.

Pada tahun 1980-1981, sekolah menengah menumpang tempat di SK Bekenu dan sebuah bangunan baru didirikan. Apabila mereka berpindah ke lokasi baru (Simpang Bekenu) bangunan tersebut tekah diserahkan Hak Milik kepada SK Bekenu.

Bangunan tambahan telah didirikan dan digunakan pada April 2003. Bangunan tambahan ini lengkap dengan sebuah Blok Akademik, dua buah bangunan asrama, sebuah dewan makan, sebuah surau dan dua unit rumah guru (Guru Besar dan Penolong Kanan). Bangunan tambahan ini menelan belanja RM4.5 juta. Peningkatan pada infrastruktur ini menambahkan kemudahan dan keselesaan murid-murid mengikut P&P.

Pada tahun 2003 juga sekolah ini diarahkan untuk membuka sebuah kelas Pendidikan Khas (Kelas Bermasalah Pembelajaran) dengan 2 orang murid.

Pada tahun 2004, kelas ini telah dibahagikan kepada 2 (Tahun 1 hingga 6) disebabkan berlaku perpindahan murid dari sekolah lain secara mendadak. Murid-murid tersebut kebanyakkan tinggal di asrama.

Sebuah bangunan baru Pra Sekolah telah digunakan pada tahun 2007. Bangunan ini dilengkapi dengan 2 buah kelas, bilik makan, dapur dan tandas.

Kini setelah genap 50 tahun usia sekolah ini, pelbagai kemudahan dikecapi oleh murid-murid sekolah ini. Sebuah makmal komputer menjadi nadi pengajaran dan pembelajaran PPSMI dan ICT. Makmal ini juga digunakan oleh Pejabat Pelajaran Daerah Subis sebagai tempat berkursus guru-guru di daerah ini. Kelas Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (KKBP) juga turut mengalami perubahan. Kelas ini telah dibahagikan kepada 2 buah kelas dengan 4 orang tenaga pengajar (termasuk seorang guru agama) dan seorang pembantu pengurusan murid (PPM).